Saturday, November 8, 2008

The Penang Experiment: GeorgeTown







“Pada suatu ketika dahulu, di George Town…” merupakan sebuah mukadimmah purba yang menghantui fikiran dan ingatan kita. Menyelam ke dasar naluri kita yang kian terselindung, seucap suara bagaikan pesanan nenek moyang kita asyik mempersoalkan maruah, nilai, tindakan serta darjat kita dalam mengubahkan sebuah bandar dimana nenek moyang kita pernah hidup, bermain, berkerja dan kembali kepada Ramatullah. Keperitan, keringat serta tertawa yang bercampur aduk dengan bunyi kereta kuda, kilang lebur timah serta firma perniagaan telah bersemadi selama-lamanya dalam kulat, parut, luka, sepihan dan peninggalan pada fasad rumah kedai serta laluannya yang dikenali sebagai George Town. Namun begitu tiada orang yang mengenalinya sedangkan merasa bangga terhadap benda-benda usang seperti itu. Hari demi hari, bandar tersebut telah membesar dan bertambah arif manakala penduduknya pula bertambah banyak dan rakus. Bandar tersebut telah menyaksikan banyak perubahan daripada kejatuhan kolonialisme kepada pembangkitan kapitalisme. Dalam pada itu, ia telah berdiri dengan gagahnya dalam mengharungi ombak serta pukulan angin perubahan. Satu fakta yang tidak pernah berubah adalah sikap manusia itu sendiri yang masih hidup dalam keperitan dan kekayaan orang lain.


Walaupun “Tuan Mat Salleh” telah lama pulang bersama-sama “Union Jack”nya, legasi tuan hamba masih lagi berkekalan. Contoh ringkas legasi tersebut adalah Undang-undang kecil bangunan seragam serta sebuah kilang yang dikenali sebagai Eastern Smelting Company (EsCoy). Ini merupakan jejak pertama mengharungi alaf yang menjelang.

EsCoy merupakan generasi terawal dalam mengindustrikan Pulau Pinang. Tugas utamanya adalah untuk menghasilkan seberapa banyak jongkong timah untuk keperluan pihak penjajah yang mengupah penduduk tempatan untuk berkeja dengannya. Kisah tuan dan hamba bermula dari sini. Tuan majikan akan menyuapkan perut-perut lapar hambanya manakala hamba pula akan memenuhi segala-gala permintaan tuannya melalui eksploitasi sumber tempatan khususnya bijih timah. Sebuah persamaan yang unggul sebagai simbiosis kolonial atau lebih tepat dikenali sebagai parasitosis. Kilang tersebut menjadi sebuah icon. Icon yang kini dikenali sebagai tirai corrugated perindustrian a.k.a. kapialisme pada mana bahagian luarannya adalah tersingkir daripada fabrik bandar manakala dalamannya merupakan sebuah medan perahan tenaga yang sah.


Perumahan kos rendah dibina seperti barrack askar tanpa disediakan kawasan untuk rekreasi semata-mata kerja merupakan segala-galanya. Namun begitu manusia sebagai ciptaan Esa yang bijak, mula bertindak sendiri secara antagonis dengan mendirikan slum. Slum yang mampu menakung penghidupan bukan sahaja terdapat banyak ruang untuk dipermainkan kanak-kanak malahan ayam dapat diternak, kucing dapat merayau rayau serta tikus sekalipun berkesempatan untuk menyorok dalam tong-tong sampah. Ia seakan-akan menjadi sebuah jahitan yang terumbang ambing dalam matriks penghidupan yang kompleks. Jelasnya, ini merupakan pola bahasa (pattern language) yang berjaya menyentuh secara mendalam dalam emosi seseorang dengan diparadukkan perasaan kecelaruan dengan kefahaman, chaos dengan orde serta kebencian dengan kesukaan.


Namun, Tuan-tuan yang bakal menjelang terdiri daripada pemilik tanah dan kerajaan tidak berupaya untuk memahami melodi slum padahal mereka lebih gemar kepada simfoni pasaran kapital lantas bertindak untuk merobohkan kilang tersebut bersama-sama dengan slum-slumnya sekalipun. Kegagahan kilang tersebut luput sama sekali namun begitu, gejala tuan hamba masih bertapak lagi sebagai menifestasi komersialisasi.

Kilang tersebut tingal sebagai bayangan yang lepas, sepihan pada waktu kini serta asas kepada masa yang akan datang. Masa depan merupakan arah tuju George Town yang agak kabur dengan campuran wang, politik dan maruah tidak termasuk kerakusan. Penduduk bandar menjadi lebih kaya lantas menjerumus kepada barangan yang berlabel dan berjenama. Persoalannya, siapakan jenama dan label tersebut? Jawapannya- tuan kolonial kita yang terdahulu dan yang kini wujud dengan berbalutkan kertas pembalut yang baru. Ini dikenali sebagai Neo-Kolonialisme.

Dalam menjelang alaf yang baru ini, paradigma baru diperlukan. George Town tidak lagi memerlukan legasi tuan hamba tetapi rakan sepejuangan. Serpihan EsCoy terlantar sebagai genesis kepada pembangunan yang akan datang. Laluan dan tampak depan bangunan dibina semula menurut landasan yang digariskan oleh para “mahaguru” Barat seperti Lynch, Cullen, Gorden, Appleyard, Krier dan lain-lain sebagai asas rekabentuk bandar. Namun begitu cabaran yang paling unggul terhadap pemikiran Barat adalah sekiranya rekabentuk bandar begitu ideal sekali, mengapa perlu wujudnya persoalan berkenaan dengan perumahan? Secara dasarnya, apabila laluan dan plaza awam adalah selamat daripada segi ciri-ciri ruang keselamatan (defensible space) sepertimana yang diperkatakan oleh Paul Newman, maka tiadanya perbezaan antara luaran dengan dalaman rumah. Mana-mana sekalipun adalah serupa. Persoalan memilik sebuah rumah tidak wujud sama sekali.

Apabila rumah tidak wujud, kita tidak memerlukan rumah. Jadi daripada kisah Bauhaus kepada rumah, apa yang dimaksudkan dengan tiada rumah? Ketiadaan rumah merupakan manifestasi tapak itu sendiri sebagai totaliti. Tapak itu sebenarnya sebuah rumah. Dibina daripada bahan yang dikitar semula daripada sepihan kilang EsCoy yang tidak bernilai, struktur baru itu dengan sendiri menjadi tiada nilai. Bila nilai tidak wujud, pengguna dapat bercampur tangan menghasilkan ruang-ruang peribadi masing-masing yang berkemungkinan besar menjadi sebuah kediaman. Ruang kecil dan sempit diantara bangunan akan menjadi penuh dengan penghidupan sepertimana yang diperhatikan dalam slum. Ini menjadi Slum yang rasmi. Maruah konservasi turut dipertahankan pada mana sepihan berkas kilang EsCoy dikitar semula dan diabadikan pada struktur-struktur baru. Secara ringkas, melalui konservasi secara keseluruhan kilang tersebut ia akan membunuh semagatnya, Konservasi secara sebahagian kilang tersebut ia akan meningkatkan semangatnya. Ketidak-konservasi-kan serpihan kilang tersebut ia akan memperbaharui semagatnya Tarikfan konservasi yang baru mula menonjol.




Persoalan kini adalah apakah yang akan terjadi kepada pemilik rumah rasmi? Jika “syurga” dapat dimiliki di luar rumah, pemilikan rumah menjadi tiada nilai lantas pemilik rumah menjadi semcam stigma masyarakat yang perlu diatasi segera. Pemaju perumahan, Kementerian Perumahan, akitek, perancang dan sebagainya akan meninggalkan tugas lama mereka menyelesaikan masalah perumahan memandangkan mereka berhadapan dengan masalah yang baru. Masalah seperti hidup dalam komuniti yang besar akan wujud bila tapak itu sendiri merupakan sebuah rumah atau pun George Town itu sendiri merupakan sebuah rumah untuk semua. Masa ini, penduduk George Town akan mengalami anjakkan paradigma daripada bercirikan tuan dan hamba kepada rakan seperjuangan dalam penempatan manusia.

Dalam saat-saat yang akan datang, anak-anak generai abad ke 21 akan berdiri dengan penuh megah berdepan dengan cucu-cicit mereka, masing-masing dengan semangat perjuangan baru terhadap bangsa, agama dan negara akan mengisahkan sebuah kisah lama berkenaan dengan nenek-moyang “primitif” mereka. Kisah berkenaan pula akan bermula dengan mukaddimah “Pada suatu ketika dahulu, di George Town…”